Sunday, 22 May 2011

PIALA SERI ENDON 2011

27 Mei - Piala Seri Endon Kembali



MEMARTABATKAN mutu batik tempatan untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa, Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) sekali lagi menganjurkan pertandingan Piala Seri Endon 2009 (PSE) yang ketujuh, tahun ini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Penyayang mengekalkan tiga kategori dalam pertandingan berkenaan iaitu kategori Kraf Tangan, Kemasan Lembut dan juga Fesyen. PSE terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berbakat besar dalam industri batik sebelum penyertaan berakhir pada 29 Julai depan.
Ketua Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali, berkata PSE bukan bertujuan untuk mencari pereka fesyen sebaliknya ingin menonjolkan pereka seni batik yang sebenar. Antara objektif lain PSE ialah memberi peluang terutama generasi muda meluahkan bakat yang terpendam tanpa menggunakan tenaga atau meniru idea golongan profesional ketika pertandingan berlangsung.

Katanya, acara tahunan Penyayang itu bertemakan Batik Malaysia - Seni untuk Dunia menjadi satu landasan terbaik kepada peserta mengembangkan lagi kreativiti segar, terbaru serta tulen dan saban tahun acara berkenaan menerima lebih ramai peserta untuk menyertai PSE.
“Pemilihan akan dibuat berdasarkan mereka yang menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Cuma, yang paling penting peserta tidak dibenarkan mengguna, meniru atau mencuri idea dan kreativiti pereka batik profesional kerana ia sekali gus tidak melayakkan peserta ke pusingan kedua dan seterusnya
“Sehubungan itu, mereka yang berminat menyertai PSE ‘09, terlebih dulu perlu menghantar tiga sampel kain yang berbeza beratnya dan lukisan batik dalam tiga sampul berbeza. Bagaimanapun, penyertaan pusingan pertama itu dinilai menerusi huraian lengkap yang menerangkan mengenai konsep, tema dan warna serta rujukan yang dilakukan secara rasionalnya secara keseluruhannya,” katanya pada majlis sidang media, di Wisma Penyayang di Sri Kembangan, baru-baru ini.
Leela berkata, mereka yang layak ke pusingan kedua pula akan diumumkan sebelum 13 Ogos ini dan pihak Penyayang akan memulangkan semula semua sampel yang sudah dihantar untuk penilaian pusingan pertama.
“Mereka yang layak ke pusingan kedua iaitu pusingan separuh akhir PSE dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 22 November di Berjaya Times Square Hotel & Convention Centre, Kuala Lumpur.
“Acara yang ditunggu-tunggu iaitu peringkat akhir PSE pula akan diadakan pada 13 Disember dimeriahkan dengan kehadiran Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah,” katanya.
Beliau berkata, PSE tahun ini lebih meriah kerana ia diadakan bersempena dengan program Pameran Batik Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIB 2009) yang diadakan pada pertengahan Disember ini.
Katanya, selepas enam musim pertandingan, PSE akan terus memartabatkan industri batik di persada fesyen, sekali gus menjadikan persaingan semakin sengit dan mencabar.
"Kita harap lebih ramai pereka muda berani menyahut cabaran pertandingan kali ini yang membolehkan mereka mencerna segala idea dalam menyemarakkan lagi industri batik tempatan.
"Begitupun, harapan kami selaku penganjur serta barisan juri adalah menerima penyertaan berkualiti kerana daripada pusingan pertama lagi piawaian penilaian sangat tinggi," katanya.
Pertandingan berkenaan diperkenalkan sejak 2003 lagi khusus bagi mencungkil dan menyediakan landasan untuk pereka batik tempatan menonjolkan kreativiti serta kebolehan masing-masing.
PSE adalah inisiatif isteri bekas Perdana Menteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang ingin melihat batik Malaysia dimartabatkan hingga ke persada antarabangsa.
Hadiah yang ditawarkan untuk ketiga-tiga kategori pertandingan rekaan batik itu sangat berbaloi dengan hasil kerja dan pengiktirafan mereka. Bagi pemenang tempat pertama atau Johan, mereka akan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 sementara Naib Johan untuk setiap kategori berpeluang membawa wang tunai RM10,000. Sementara itu, hadiah di tempat ketiga pula melayakkan pemenangnya memenangi wang tunai RM5,000 manakala lima peserta terakhir bakal menerima hadiah sagu hati bernilai RM1,000 setiap seorang.
Untuk mendapatkan keterangan lanjut, sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Yayasan Budi Penyayang Malaysia di www.penyayang.org.my atau 03-89460222.
Sumber: Berita Harian


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...